Mak Cik Bawang – Apa yang Boleh Kita Pelajari

Kongsikan Artikel Ini

Terma mak cik bawang sangat trending tahun ini.

Pada awalnya saya tertanya-tanya apa maksud mak cik bawang ni sebab selalu nampak ditulis di Instagram dan Facebook.

Selepas bertanya dalam satu Facebook post, barulah saya faham apa maksud mak cik bawang dan aktiviti membawang yang dilakukan oleh mak cik bawang ini.

Mak cik bawang dan membawang berpisah tiada.

Dua terma ini sangat kerap disebut di media sosial seperti Facebook. Bagi yang blur macam saya sebelum ni, saya tuliskan sedikit apa maksud mak cik bawang dan kenapa di panggil mak cik bawang, bukan mak cik keledek atau biskut.

Mak cik bawang merujuk kepada segolongan manusia yang suka mengumpat  hal orang lain.

Sefaham saya, mereka digelar mak cik bawang kerana ketika kenduri, mak cik mak cik yang mengupas bawang ini akan isi masa untuk mengumpat.

Tetapi, mak cik bawang turut digunakan untuk orang yang cakap perkara menyakitkan hati di depan orang itu.

Kesan perlakuan mak cik bawang.

Banyak saya lihat di facebook rakan-rakan menyatakan rasa sedih oleh perlakuan mak cik bawang ini. Sama ada diumpat atau dikomen dengan komen pedas dan negatif oleh mak cik bawang.

Kesannya lebih dirasa oleh ibu yang baru bersalin dan dalam pantang yang mana waktu ini adalah waktu sensitif wanita. Jika waktu biasa kita boleh pekakkan telinga, tetapi waktu berpantang sedihnya lain macam.

Ketika ini ramai pula orang memberi nasihat berbau bawang (iaitu nasihat yang bersifat condemn dan menjatuhkan semangat).

“Sikitnya susu kau. Mak cik dulu susu meriah, sekejap je menyusu baby tidur lena 5 jam”

“Susu kau sikit, tu yang baby kerap menyusu”

“Tak payahlah susu ibu ni, susah kau nak masuk kerja nanti”

Komen seperti ini menjatuhkan semangat ibu yang baru bersalin dan ianya turut menyakitkan hati si ibu yang dalam fasa memulihkan diri daripada bersalin.

Apa yang dapat dipelajari daripada kisah mak cik bawang

Kisah mak cik bawang ni menyebabkan saya teringat kisah seorang anak muda bertanya soalan tentang zina kepada Rasulullah.

Ada seorang anak muda datang kepada Rasulullah dan bertanya tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina. Rasulullah membalas soalan itu penuh hikmah.

“Wahai pemuda,” sapa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, aku tidak ingin itu terjadi,” jawabnya.

“Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.

“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.

“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun aku tidak ingin.”

“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah aku tidak senang.”

Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?

“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,”

“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”

Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

The Golden Rule

Rasulullah mengajar anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rule iaitu “treat others as you would like to be treated.”, layanlah orang lain sebagaimana apa yang kita harapkan dari orang lain untuk melayan kita”

Jika kita sakit hati dengan soalan mak cik bawang itu, tanamkan dalam hati untuk tidak sesekali bertanya soalan yang sama kepada orang lain.

Jika kita seronok diberi semangat dan galakan oleh seseorang, cuba untuk beri galakan sama kepada orang yang memerlukan.

Inilah pengajaran besar yang saya pelajari setelah dibawangi orang. Sakitnya tu disini. Jadi perlu ingat bahwa komen yang sama, ianya juga akan sakiti hati orang lain. Jadi elakkan kita memberi komen yang sama kepada orang sekeliling kita.

Jika tiada perkataan baik yang boleh diucap, lebih baik diam.

Dalam isu media sosial, jika tiada ayat baik yang boleh dikomen, lebih baik tidak perlu tinggalkan komen. Diam lebih baik.

With one kind gesture, you can change a life. One person at a time, you can change the world.

Marilah kita menjadi ejen perubahan dunia, dengan memberi komen baik kepada orang. Tiada komen baik yang boleh diberi, maka diam itu lebih baik.

Jom sertai Komuniti Cozy Lady

Dan jadi antara yang terawal mendapat update perkongsian daripada blog ini