Seronok ke Bekerja Dengan Anak-anak?
Hidup zaman moden ini sangat mencabar. Kehidupan berjalan dengan pantas. Lebih mencabar bagi seorang ibu atau bapa yang bekerjaya. Kerja di pejabat terlalu banyak berbanding masa yang ada. Sekurang-kurangnya satu pertiga hari kita dihabiskan di pejabat. Sedar tidak sedar, anak kita sudah pun membesar di luar perhatian kita. Mana tidaknya, balik kerja anak sudah mahu tidur. Awal pagi hantar ke nurseri.
Bekerja Dengan Anak – Satu Pilihan
Ramai yang mengimpikan untuk bekerja sambil menjaga anak. Sepertimana catatan daripada Humans of KL ini, bapa ini mengorbankan jawatan tinggi di korporat kerana ingin lebih masa bersama keluarga.
Tidak semua orang mempunyai pilihan untuk bekerja sambil menjaga anak. Namun, bagi yang mempunyai pilihan, adakah impian bekerja sambil menjaga anak ini adalah begitu indah seperti yang diharapkan?
Bekerja Dengan Anak – Cabaran Tersendiri
Alhamdulillah, saya antara salah seorang yang mempunyai pilihan untuk bekerja dengan anak, kerana saya menguruskan perniagaan sendiri. Walaupun ini adalah perniagaan sendiri, kita adalah bos, tetap perlukan komitmen dan disiplin yang tinggi bagi memastikan perniagaan terus berkembang.
Pada mulanya, ada juga terfikir untuk menghantar anak-anak ke nurseri. Namun, memikirkan waktu mereka kecil tidaklah lama, dan saya pun banyak terlepas peluang melihat anak pertama, Taqiyuddin membesar di depan mata (sebab saya masih bertugas sebagai guru ketika itu), jadi, saya berazam dan memilih untuk membawa kesemua anak-anak saya ke pejabat setiap hari.
Disebabkan ini adalah perniagaan sendiri, bilik bos kami susun supaya mempunyai pembahagi ruang bekerja Mama dan ruang bermain anak-anak. Tapi pembahagi tu hanya pada nama, anak-anak saya yang jenis suka berdakap pasti akan bermain di kawasan saya bekerja juga.
Kesannya? Anda tengok sahaja keadaan bilik bos di bawah:-
Beginilah keadaan bilik bekerja. Bersepah tu tak payah cerita. Kelihatan dalam gambar seorang duduk leka menulis di microsoft word, seorang menyepah di satu bucu manakala seorang lagi juga sedang menyepah di satu bucu.
Februari 2018 merupakan titik perubahan dalam saya bekerja. Permohonan cuti suami daripada dunia korporat diluluskan. Alhamdulillah, suami akan lebih masa untuk bersama-sama menjaga anak dan menguruskan perniagaan.
Namun, cabaran tetap ada. Walaupun ada suami, menguruskan tiga anak tetap sesuatu yang sangat mencabar. Kerap kali kami ingin bermesyuarat atau berbincang tentang perniagaan, diganggu oleh anak yang dah cranky. Kejap nak susu, kejap nak main. Kalau tak layan akan menangis lagi kuat. Jadi, saya dan suami banyak multi-tasking buat kerja sambil menjaga anak. Ada kalanya kami bergilir-gilir bagi memastikan ada masa yang berkualiti untuk buat kerja. Kalau dua-dua sibuk nak buat semua benda, memang tak efisyen jawabnya.
Suasana meeting mingguan kami. Meeting memang selalu dibuat di restoran kerana anak-anak akan terikat pada kerusi makan, jadi mak ayah selaku pengarah urusan syarikat dapatlah berbincang dengan tenang selama 20 – 30 minit.
Kami memang cuba sedaya upaya untuk tidak berikan gajet untuk melekakan anak-anak. Jadi, barangan atas meja restoran selalu jadi umpan supaya mereka leka sekejap di meja makan. Jadi dapatlah saya dan suami berbincang perihal syarikat.
Setiap hari, kami akan bawa semua anak-anak ke pejabat. Itulah tempat mereka tidur, bermain dan bergaduh berebut mainan. Cooler bag Natural Moms tu memang sentiasa dibawa bersama, sebab senang bawa 1 bag je, muat segala barang dalam tu.
Prinsip kami membesarkan anak-anak adalah dengan meminimakan gajet dan screen time. Ini menjadi lebih mencabar kerana anak-anak akan mudah kebosanan. Bila mereka sudah semakin besar, mainan mereka dah tidak diminati, sebaliknya, segala peralatan pejabat yang Abah Mama guna juga yang mereka nak main. Daripada pen, kepada selotape, kepada perabot, semua ingin ditiru.
Anak-anak memang suka meniru apa yang kita lakukan. Bila kita sibuk pasang rak, mereka pun mulalah sibuk membantu. Anak kembar saya, Amir dan Amirah sedang leka meneroka (baca: menyepahkan) rak yang baru dipasang.
Ya, biasanya aktiviti meneroka aka menyepahkan pejabat diakhiri dengan perebutan dan pergaduhan ‘manja’ adik-beradik.
Tips bekerja dengan anak:
- Set deadline. Sebab kerja dengan anak ni sangatlah tak diduga, sekejap berak, sekejap gaduh. Kalau tiada deadline, memang di hujung hari kita perasan yang tiada apa yang berjaya disiapkan. Jadi, deadline sangat penting. Kalau masih tak siap di pejabat, memang kena paksa diri siapkan di rumah bila anak sudah tidur.
- Stress itu biasa. Jangan rasa loser kalau anda stress bila bekerja dengan anak. hehe. Memang stress itu akan sentiasa dihadapi. Cari sahaja cara menghilangkan stress itu supaya anda kembali ceria dan dapat siapkan kerja-kerja yang tak pernah habis tu.
- Jangan mahukan kesempurnaan dalam semua perkara. Bilik pejabat sepah? Biarkan saja, bilik sepah tandanya anak gembira. Gittew.
Jadi, seronok tak bekerja dengan anak? Seronok, tapi datangnya dengan cabaran. Perlu banyak pergorbanan masa dan jadual yang fleksibel kerana sikap kanak-kanak ni sukar diduga.
Bagi yang telah memilih untuk bekerja sambil menjaga anak, saya tabik anda. Walaupun nampak seronok di mata orang lain, cabarannya tetap besar.
Bagi yang tiada pilihan untuk menjaga anak, tidak mengapa. Gunakan sebaiknya masa yang ada secara berkualiti dengan anak. InsyaAllah, anak akan membesar dengan baik juga.
Memang ke mana saya pergi, anak-anak akan ikut sama. Mujur ada adik beradik saya yang selalu bantu dukung salah seorang kembar ni.
Tips lain bagi ibu yang mahu bekerja dengan anak, guna baby carrier supaya anda dapat layan kehendak anak untuk dimanja, tetapi dalam masa sama, ibu tetap dapat siapkan kerja. Saya selesa dengan Andrea Baby Carrier dan Tugeda Baby Carrier, dok selang pakai antara dua jenama ni. Apa pun jenama baby carrier anda, pastikan ianya ergonomic.
Selalunya, kalau saya ada photoshoot, saya akan minta bantuan adik beradik saya untuk bantu tengokkan si kembar. Mereka biasanya akan bermain sekitar studio. Gambar ni ketika mereka berumur 8 bulan, di studio Serindit Shah Alam.
Kelihatan kelibat 3 adik saya yang bantu jagakan si kembar ketika saya sibuk menguruskan photoshoot. Baby carrier sangat membantu. Waktu ni si kembar dah kepenatan dan sudah mula menangis, jadi adik-adik saya dukung mereka dalam baby carrier dan mereka biasanya tidur nyenyak dalam baby carrier ini. Dapatlah saya teruskan tugasan saya siapkan sesi photoshoot.
Beginilah anak saya setiap hari, apa yang saya dan team Cozy Lady buat semua mereka ingin turut serta. Gambar Amirah sedang seronok baring dalam bakul yang dipenuhi baju.
Gelagat Amir menemani abah bekerja. Saya dan suami akan bergilir-gilir kerja. Bila saya kerja, suami akan bantu tengokkan anak-anak. Bila suami kerja, saya akan jaga anak-anak.
Gelagat 3 beradik sedang seronok bermain di ruang kanak-kanak di Butik Cozy Lady.
Abah pun nampaknya menulis tentang bekerja dengan anak dari kaca mata seorang ayah