Suasana di Rumah Membentuk Sikap Anak

Kongsikan Artikel Ini

Semalam, playschool anak saya yang sulung, Taqiyuddin telah mengadakan sesi pertemuan antara ibu bapa dan playleaders (panggilan bagi guru di sana). Memang biasanya sesi seperti ini akan diadakan setiap 6 bulan. Cumanya, sesi kali ini membuatkan saya tersedar betapa pentingnya suasana di rumah membentuk sikap anak.

Pertemuan yang Membuka Mata

Sesi untuk anak kami, Taqi dijadualkan pada pukul 8:50 pagi. Saya dan suami bertemu dengan salah seorang playleader yang telah ditugaskan untuk memantau Taqi.

Kami ditunjukkan sehelai kertas yang tertulis laporan ringkas pencapaian dan pemerhatian yang dilakukan ke atas Taqi.

Suami saya terbaca laporan yang sedikit negatif mengenai Taqi pada tahun kedua. Mungkin cikgunya membandingkan Taqi tahun lepas dengan tahun ini. Namun, suami saya bertanya juga kepada cikgu Taqi, apa yang dimaksudkannya.

Menurut cikgu Taqi, pada tahun lepas, Taqi ada kalanya tidak gembira di sekolah, ada kalanya tidak berminat untuk join aktiviti-aktiviti bersama rakan-rakan. Cikgu Taqi berkata, menurut pemerhatian mereka, mungkin Taqi kekurangan perhatian di rumah sebab kehadiran adik-adiknya, Amir dan Amirah. Saat ini, saya terasa sangat sedih kerana tidak menyangka kekalutan di rumah akan memberikan kesan kepada Taqi sehingga ke sekolahnya.

Selama ini, saya menyangkakan, sekurang-kurangnya, Taqi gembira dengan aktiviti-aktiviti di sekolah selama separuh hari. Tak dinafikan, di rumah, saya kurang memberikan perhatian kepada Taqi kerana sibuk menjaga adik-adik kembar di samping menguruskan bisnes. Kadang-kadang pula, memang ada juga marah Taqi sebab selalu buat bising waktu adik tidur, atau inginkan perhatian ketika saya sedang sibuk.

Sedihnya saya apabila mengetahui Taqi pada tahun lepas seakan depresi dan kemurungan.

Suasana di Rumah Membentuk Sikap Anak

Lalu suami saya bertanya lagi apa beza tahun ini dengan tahun lepas sebab tahun ini kelihatannya laporan Taqi lebih positif. Menurut cikgunya, ya, tahun ini Taqi lebih ceria ke sekolah, lebih matang dan lebih bekerjasama dalam melakukan sebarang aktiviti. Mungkin sebab encik bercuti setahun dan fokus kepada dia rasanya, itu ayat cikgu Taqi kepada kami.

Benar, selepas suami saya bercuti daripada dunia korporat awal tahun ini, kehidupan kami lebih tersusun dan stabil. Kami mempunyai lebih masa dengan anak-anak, termasuk Taqi. Memang kami lebih fleksibel untuk membawa Taqi berjalan-jalan walaupun hari bekerja. Tambahan pula, di rumah dan butik Cozy Lady, ada suami saya membantu menguruskan adik-adik kembar Taqi, jadi, memang ada orang yang boleh memberikan perhatian lebih kepada Taqi. Mungkin juga ini yang menyebabkan emosi Taqi tahun ini lebih stabil.

Saya dan suami berbincang selepas pulang daripada sekolah Taqi. Betapa besarnya impak suasana di rumah membentuk sikap anak. Ada kalanya kita terlalu sibuk mencari sekolah yang baik, tetapi impak yang lebih besar sebenarnya adalah cara ibu bapa melayan dan mendidik anak-anak di luar sekolah. Mungkin kita rasa cikgu yang lebih besar impak kerana duduk bersama anak-anak kita lebih separuh hari, tetapi anak tetap akan memandang ibu dan bapa sebagai tanda aras mereka. Walau sebaik manapun guru di sekolah, anak-anak tetap mendambakan masa dan perhatian ibu bapa. Jika ini dapat diberi, nescaya anak-anak akan membesar dengan gembira, dan kanak-kanak gembira adalah kanak-kanak berjaya

Baca mengenai peranan bapa dalam membentuk peribadi anak:

Interaksi Aktif Bapa Dengan Bayi Mampu Merangsang Kemahiran Kognitif Bayi