Belajar dengan bermain
Anak-anak saya sangat suka bermain. Mereka boleh bermain tanpa henti selama beberapa jam sebelum terbaring kepenatan atau tertidur. Bangun saja daripada tidur, mereka terus bermain. Tak kiralah masa apa pun.
Masa mandi pun nak main, percikkan air sana-sini, melompat, main buih, main mainan seperti ikan plastik, bola plastik dan lain-lain dalam baldi.
Masa makan pun mereka nak main. Alih makanan daripada 1 pinggan ke pinggan lain, potong-potong makanan guna sudu, cubaan mengoyakkan sayur, ayam dengan tangan, tanam lauk dalam nasi dan sebagainya.
Pokoknya, kanak-kanak dan bermain memang tak dapat dipisahkan. Dan itulah yang saya perhatikan pada anak-anak saya sepanjang hari.
Belajar vs bermain
Untuk anak-anak yang masih terlalu kecil, umur antara 3 bulan ke 2 tahun, ibu bapa kebanyakkannya tidak risau jika anak mereka hanya bermain sepanjang hari. Namun, ibu bapa akan mula risau jika anak-anak terus asyik bermain sepanjang hari bila mereka mula mencecah umur 5 ke 6 tahun ke atas.
Saya pernah ditanya seorang rakan, bagaimana anak pertama saya cepat dan lancar membaca kerana mereka melihat anak saya bermain sahaja sepanjang hari melalui perkongsian saya di Instagram. Beliau kemudian menyatakan kerisauan terhadap anak yang terlalu aktif, ‘tak boleh duduk diam’ ketika diajak membaca, dan asyik nak bermain sepanjang hari.
Untuk soalan ini, saya menjawab yang anak pertama saya memang sukakan huruf sejak kecil. Dia memang tidak pernah diajar membaca secara formal dengan flash card atau apa-apa bahan formal untuk beliau cepat membaca. Anak pertama saya itu hanya bermain dan semasa main, saya tunjukkan apa-apa huruf yang saya nampak sepanjang kami berada. Melalui cara itu, dia mengenal huruf. Dan ketika umur 4 tahun, dia belajar di tadika tentang phonics dan ini menyebabkan dia terus boleh membaca dengan lancar. (Tadika anak saya itu menggunakan pendekatan belajar secara bermain, tanpa white board, meja dan kerusi. Mereka bebas bergerak ke mana mereka mahu ketika sesi pembelajaran).
Kesimpulan untuk soalan rakan saya itu – anak saya pun kuat bermain. Sangat kuat bermain. Dan di sekolah pun dia masih kuat bermain. Saya rasa itulah yang menyebabkan dia cepat belajar apa-apa sahaja, bukan sekadar cepat belajar membaca, malah cepat belajar perkara lain. Anak saya belajar banyak melalui bermain!
Petikan daripada buku Bukan Generasi Remote Control :
Anak-anak di bawah umur 6 tahun, sifat mereka ingin meneroka. Kalau mereka rasa hendak cuba, mereka akan cuba. Apabila kita benarkan mereka kreatif dalam meneroka, kita juga telah membenarkan mereka menjadi seorang yang kreatif dalam berfikir.
90% daripada bahagian otak terbentuk seawal usia 0 hingga 6 tahun. Baki 10% yang membabitkan kognitif hanya mula terbentuk pada umur 7 tahun sehinggalah meningkat dewasa. Maka, 6 tahun pertama adalah asas awal yang paling kritikal dibentuk.
Keretapi Taqi
Contoh mudah, apabila saya lihat anak saya, Taqi, sedang bermain keretapi buatan sendiri dengan menggunakan lego gergasi dan salotape.
Salotape merah itu adalah salotape ketiga selepas 2 lagi salotape berbeza gagal berfungsi melekatkan keretapi itu dengan baik. Saya lihat sendiri dia mencabut salotape yang kurang kuat lekatan dan menggantikan dengan salotape lain. Lepas salotape kedua juga gagal, dia menyelongkar rak alat tulis (habis sepah rak itu T_T waktu ni, mak menangis dalam hati), dan mula mencuba salotape berwarna merah ini. Akhirnya rekaan beliau itu berjaya selepas 3 kali mencuba dengan 3 jenis salotape berbeza!
Di sini sebenarnya kita sudah dapat lihat yang terlalu banyak dia pelajari dengan bermain keretapi buatan sendiri ini.
Dia belajar untuk tidak putus asa.
Dan dia belajar untuk terus mencuba.
Dia belajar yang bahan berbeza mempunyai kekuatan lekatan yang berbeza.
Dia sedar tentang lego gergasi yang cuba disambung itu besar dan berat dan memerlukan salotape yang betul-betul kuat lekatannya.
Kemudian saya perhatikan dia tarik keretapi itu ke seluruh ruang kedai. (Ya, anak-anak saya banyak bermain di butik Cozy Lady, tempat di mana saya bekerja. Dan begitulah saya bekerja setiap hari, dikelilingi anak-anak yang aktif bermain.)
Saya lihat, apabila keretapi membuat pusingan, hujung keretapi tersangkut pada bucu dinding. Lalu kali kedua keretapi membuat pusingan, anak saya ini mula mengambil jarak jauh sedikit daripada dinding, dan berjaya membuat pusingan tanpa tersangkut.
Kemudian, keretapi ditarik di atas carpet dan keretapi mula tersekat kerana permukaan carpet yang kesat dan tidak licin seperti lantai. Kali kedua melalui carpet, dia mula angkat keretapi dan sebut, “keretapi terbang” . Apa-apa sajalah anakku. Tapi saya dapat lihat yang dia belajar untuk atasi masalah yang datang sepanjang dia bermain dengan keretapi itu.
Kesimpulan
Itulah hasilnya jika kita berikan ruang untuk anak bebas bermain. Sangat banyak yang mereka pelajari. Dan semua itu mereka pelajari melalui pengalaman, yang mana ia jauh membekas dalam diri mereka berbanding fakta yang dihafal. Menarik bukan?
Apabila anak bermain, mereka seronok kerana bebas meneroka dan belajar. Kita sebagai ibu bapa yang melihat juga seronok kerana tahu yang banyak pengalaman berharga yang mereka telah belajar dan peroleh.
Jadi, jangan risau sekiranya anak kita suka bermain kerana mereka sebenarnya banyak belajar melalui bermain. Dengan cara itulah kanak-kanak belajar.
Bagi yang berminat mendapatkan pakaian menyusu jenis selak, boleh lihat koleksi pakaian menyusu Cozy Lady di link ini:
http://www.cozybaby.biz/product-category/nursing-attire/
Juga, mari sertai komuniti Cozy Lady untuk mendapat email bagi setiap post bermanfaat yang bakal dikongsi dalam blog ini nanti.