Tanda bayi cukup susu
Baby asyik menangis. Saya rasa susu saya sedikit. Macam mana nak tahu bayi mendapat susu yang cukup setiap kali lepas menyusu?
Percaya atau tidak, ini adalah soalan yang kerap saya tanya diri sendiri walaupun sudah masuk anak kedua (dan ketiga, kerana kelahiran kedua saya adalah kembar)
Pada awal kelahiran, sangat normal untuk kita picit puting payudara dan melihat hanya lelehan susu keluar. Waktu ini, susu belum memancut keluar.
Fakta yang perlu kita semua tahu adalah, pada awal kelahiran, iaitu satu ke tiga hari pertama, memang susu yang keluar sangat sedikit. Bayi yang baru beberapa hari lahir, perut mereka sangat kecil dan mereka tidak memerlukan susu yang terlalu banyak.

Selain itu, bayi yang baru lahir sangat suka dipeluk dan pantang diletak. Ketika ini, agak mudah untuk kita menyalahkan susu sikit dan merasakan bayi tidak kenyang setiap kali bayi menangis kuat apabila diletak selepas disusukan.
Oleh itu, penting juga untuk mengetahui sebab-sebab lain bayi menangis kerana ada waktunya bayi menangis bukan kerana tak mendapat susu yang mencukupi.
Bayi Menangis kerana Pelbagai Sebab Lain Selain Susu
- Lapar
- Perut kembung
- Tidak selesa dengan suhu bilik, mungkin dirasakan terlalu panas atau sejuk.
- Lampin perlu ditukar
- Ingin didukung dan dipeluk
Di atas adalah antara sebab-sebab bayi menangis.
Jika dilihat, selain lapar, ada banyak sebab lain lagi.
Oleh itu, adalah penting untuk ibu-ibu bertenang dan siasat apa yang menyebabkan bayi anda menangis. Jangan terus menyalahkan susu tak cukup!
Pengalaman saya sendiri ketika menjaga anak pertama, anak saya pantang diletak dan akan terus menangis.
Orang yang memerhati akan terus mengatakan anak saya masih lapar dan tidak cukup susu. Kemudian mereka menyalahkan saya kerana katanya, susu saya sedikit, tak mencukupi untuk bayi.
Sejujurnya, waktu ni saya rasa sangat risau dan mula membuat carian di internet.
Saya dapati bayi yang baru lahir memang suka dipegang dan dipeluk kerana itulah keadaan bayi ketika di dalam perut.
Oleh itu, sebenarnya normal sekiranya bayi menangis jika diletak dan lebih suka dipeluk.
Selepas tahu tentang ini, barulah saya boleh bertenang setiap kali menyusukan anak. Saya tahu anak saya menangis bukan hanya sebab lapar sahaja tetapi ada sebab lain seperti mahu iddukung dan dipeluk.
Tanda Bayi Cukup Susu
Baiklah, berbalik kepada tajuk artikel ini, terdapat 4 cara mudah untuk kita tahu sama ada bayi mendapat susu yang mencukupi atau tidak.
Tanda Bayi Cukup Susu #1 : Bilangan Lampin Basah
Ini merupakan cara yang paling mudah untuk memeriksa sama ada bayi minum susu dengan cukup atau tidak.
Semasa beberapa minggu awal kelahiran, bayi sepatutnya membuang air kecil sebanyak 6 hingga 8 lampin basah.
Perkara ini merupakan apa yang pihak hospital lakukan untuk memastikan bayi minum susu yang mencukupi apabila anak saya dimasukkan ke hospital selama 5 hari kerana jangkitan peparu.
Setiap hari doktor akan memeriksa bayi dan mencatat bilangan lampin basah anak saya pada hari tersebut.
Lampin Basah tu Basah yang Bagaimana?
Persoalan yang saya sendiri pernah tanya – Lampin basah yang bagaimana boleh dikira sebagai 1 lampin basah? Sekali kencing? Dua kali kencing? Ibu-ibu boleh cuba cara ini.
Ambil 1 lampin bersih dan jadikan ia sebagai sampel lampin basah. Tuang 2-3 sudu besar air dalam lampin bersih ini. Kemudian simpan lampin ini dalam 1 ziplock bag.
Apabila anda salin lampin bayi, boleh bandingkan tahap kebasahan lampin itu dengan sampel lampin basah di dalam ziplock bag itu tadi.
Sekarang sudah ada banyak jenama lampin yang ada wetness indicator pada lampin. Apabila lampin basah, warna jalur pada lampin bertukar warna menjadi biru.
Boleh gunakan wetness indicator pada lampin ini juga sebagai tanda lampin basah.

Tanda Bayi Cukup Susu #2 : Warna Air Kencing Bayi
Periksa lampin bayi dan perhatikan warna dan bau air kencing bayi.
Tanda bayi cukup susu adalah apabila air kencing bayi jernih dan tidak berbau kuat. Jika warna air kencing pekat dan berbau kuat, mungkin bayi tidak mendapat susu yang cukup.
Tanda Bayi Cukup Susu #3 : Warna Najis Nayi
Bayi yang menyusu dengan susu ibu sepenuhnya akan mengeluarkan najis berwarna kuning keemasan.
Ini bermaksud bayi mendapat jumlah hindmilk yang mencukupi.
Susu ibu yang awal keluar adalah foremilk yang mana ia mengandungi jumlah air yang banyak. Ia bertujuan untuk menghilangkan haus bayi.
Sekiranya bayi terus menyusu, bayi akan mula mendapat hindmilk yang mana ia mengandungi lebih banyak lemak.
Susu akhir yang mempunyai banyak lemak ini (hindmilk) ini yang menyebabkan bayi kenyang lebih lama.
Bayi yang tidak mendapat cukup hindmilk akan mengeluarkan najis berwarna hijau.
Jika ini berlaku, jangan panik. Ibu-ibu perlu memastikan bayi menyusu pada sebelah payudara sahaja sehingga bayi benar-benar kenyang. Alih ke payudara kedua jika perlu tetapi jangan tukar payudara terlalu cepat.

Tanda Bayi Cukup Susu #4: Berat Badan Bayi Bertambah
Selepas kelahiran bayi, waktu check up anak dengan doktor, saya paling berdebar menanti bacaan berat badan bayi.
Fakta tentang berat badan bayi: Sejurus selepas kelahiran, berat badan bayi memang akan turun sedikit, tetapi jangan turun lebih 10% daripada berat semasa bayi lahir.
Jika turun lebih daripada 10%, ini mungkin tanda bayi tidak mendapat susu yang cukup.
- 0-3 bulan : Bayi perlu ada pertambahan berat sekurang-kurangnya 180g seminggu (700g sebulan)
- 4-6 bulan: Bayi perlu ada pertambahan berat sekurang-kurangnya 500g sebulan
Jika Anak Tidak Cukup Susu, Apa Perlu dibuat?
Jika berlaku keadaan ini, ibu-ibu jangan panik. Cuba dua perkara ini:
- Cepat-cepat berjumpa doktor dan dapatkan nasihat doktor. Ini adalah langkah paling penting kerana doktor akan memeriksa keadaan bayi dengan lebih teliti.
- Semak lekapan anak (latching) ketika menyusu. Jika lekapan baik, anak akan mendapat susu yang mencukupi. Lekapan yang tidak baik akan menyebabkan anak tidak mendapat susu yang cukup.
- Cuba juga periksa bahagian mulut bayi. Bayi yang ada lip tie dan tongue tie, tidak akan dapat lekapan yang baik dan menyebabkan bayi tidak mendapat susu yang cukup. Keadaan ini boleh diperbaiki dengan sedikit pembedahan kecil pada lidah anak.
Download dan Print Newborn Logbook Ini
Pengalaman saya bersalinkan anak kembar di Hospital Gleneagles, saya warded selama 5 hari, dan dalam 5 hari ini, saya diberi borang khas (logbook) untuk catat bilangan dan masa bayi menyusu dan bilangan lampin basah.
Perkara ini bertujuan untuk doktor dan jururawat monitor bayi cukup susu atau tidak.
Logbook ini sangat membantu saya.
Inspirasi daripada pengalaman ini, saya buatkan 1 pdf file dan ibu-ibu boleh download dan print untuk digunakan dalam 2 minggu pertama selepas bersalin.
Boleh masukkan nama, dan email, kemudian tekan butang send untuk dapatkan ebook ini melalui email anda.
Diharapkan perkongsian ini membantu ibu-ibu yang mungkin merasa risau dan tertanya-tanya sama ada bayi mendapat susu yang mencukupi atau tidak terutamanya untuk ibu-ibu yang direct feeding.
Sekiranya bayi menunjukkan tanda-tanda seperti tidak cergas, mata kuyu walaupun lampin kerap ditukar dan warna najis ok, terus berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
Bagi yang berminat mendapatkan pakaian menyusu jenis selak, boleh lihat koleksi pakaian menyusu Cozy Lady di link ini:
http://www.cozybaby.biz/product-category/nursing-attire/
Juga, mari sertai komuniti Cozy Lady untuk mendapat update bagi setiap post bermanfaat yang bakal dikongsi dalam blog ini nanti.