Cara Cairkan dan Panaskan Susu Ibu

Kongsikan Artikel Ini

Khasiat susu ibu akan berkurang sekiranya susu ibu melalui perubahan suhu mendadak.

Oleh itu, penting untuk ibu-ibu tahu cara yang betul untuk mencairkan susu beku, kemudian cara untuk panaskan susu ibu tadi sebelum diberi kepada bayi.

Saya kongsikan langkah demi langkah dengan lengkap untuk mencairkan susu ibu kemudian memanaskannya sebelum diberi kepada bayi.

Cairkan Susu Beku

Ada dua kaedah mencairkan susu beku. Kaedah 1 lebih perlahan tetapi lebih baik untuk mengekalkan khasiat susu ibu. Kaedah 2 boleh digunakan jika ibu memerlukan susu dalam masa cepat.

Penting:

  • Susu beku perlu dicairkan terlebih dahulu sebelum dipanaskan dan diberi kepada bayi.
    Jangan terus panaskan susu beku. Suhu susu perlu berubah perlahan-lahan untuk kekalkan khasiat susu ibu
  • Jangan cairkan susu beku dengan meletakkannya dalam suhu bilik.

Susu beku yang cair ini tahan selama 24 jam sekiranya disimpan dalam peti sejuk (bahagian chiller).

Oleh itu, susu perlu dihabiskan dalam masa 24 jam.

Cairkan Susu Beku Kaedah #1 :
Tinggalkan Semalaman Dalam Peti Sejuk (chiller)

Ini merupakan kaedah terbaik untuk mencairkan susu beku kerana suhu susu ini berubah perlahan-lahan dan tidak terlalu drastik.

Cara cairkan susu beku

Caranya:

  • Ambil 1 plastik atau botol susu beku dalam freezer.
  • Letakkan susu ini di dalam bekas berisi air paip.
  • Kemudian, letakkan di bahagian chiller.
  • Tinggalkan semalaman atau selama 12 jam.

Kebaikan: Khasiat susu terjaga kerana susu ini cair secara perlahan-lahan.

Keburukan: Kaedah ini mengambil masa yang lama. Ibu perlu merancang 12 jam lebih awal.
Sebaiknya, turunkan susu beku ini pada waktu malam untuk digunakan pada keesokan hari.

Cairkan susu beku kaedah #2:
Lalukan di bawah air paip yang mengalir.

Kaedah 1 tadi lebih baik kerana suhu susu berubah secara perlahan-lahan dan khasiat susu lebih terjaga.

Oleh itu, utamakan kaedah 1.

Rancang kuantiti susu yang diperlukan oleh bayi sehari lebih awal supaya dapat mencairkan kuantiti susu yang mencukupi untuk hari seterusnya.

Tetapi, jika masih tidak cukup susu yang dicairkan dengan kaedah 1, dan memerlukan susu dengan segera, ibu-ibu boleh gunakan kaedah 2 ini.

Caranya: Dalam keadaan botol atau plastik susu tadi masih tertutup, lalukan botol atau plastik ini di bawah air paip yang mengalir sehingga semua ais cair sepenuhnya.

Penting: Pastikan air paip ini tidak panas. (kerana ada waktunya, suhu Malaysia yang panas menyebabkan air paip turut menjadi panas. Jika ini berlaku, biar air panas itu mengalir dahulu dan letakkan susu beku di bawah air paip mengalir hanya selepas air bertukar sejuk).

Cara memanaskan susu ibu.

Selepas susu beku tersebut cair, susu perlu dipanaskan dengan cara yang betul sebelum diberi kepada bayi. Ada dua kaedah, iaitu panaskan secara manual dengan merendamkan susu dalam air suam, atau menggunakan bottle warmer khas untuk memanaskan susu.

cara panaskan susu ibu

Penting:

  • Jangan panaskan susu di dalam microwave
  • Jangan panaskan susu di atas api dapur

Kedua-dua cara di atas ini akan merosakkan khasiat susu ibu.

Saya jelaskan dengan lebih terperinci seperti di bawah:

Panaskan Susu Kaedah #1: Rendam dalam Air Panas.

Ini merupakan kaedah manual, jika tiada bottle warmer elektrik. Kaedah ini sangat mudah untuk dipraktikkan.

Bagi saya, bottle warmer adalah benda terakhir yang saya akan beli dalam bajet penyusuan saya.

Saya akan utamakan corong handsfree, cooler bag yang berkualiti dan pam susu yang baik terlebih dahulu. Jika mempunyai bajet lebih, belilah bottle warmer.

Cara panaskan susu ibu
Susu direndam dalam air suam.

Caranya:

  1. Panaskan air sehingga menggelegak (guna cerek atau kettle untuk lebih mudah).
  2. Ambil 1 cawan air panas, kemudian ambil 2 cawan air paip (ratio 1:2 = air panas : air paip)
  3. Letakkan dalam 1 bekas besar dan campurkan kedua-dua air tersebut untuk menjadikannya air suam.
  4. Rendam botol atau plastik susu (pastikan masih bertutup) dalam bekas berisi air suam ini. Tunggu selama 5 minit.

Panaskan Susu Kaedah #2: Guna Bottle Warmer

Terdapat banyak jenama bottle warmer di Malaysia sekarang. Jenama berbeza mempunyai cara penggunaan yang berbeza. Sebaiknya baca manual bottle warmer tersebut.

Cara panaskan susu ibu

Penggunaan bottle warmer ini mudah kerana hanya perlu diisi air paip (sukatan ikut jenama, sebab lain jenama lain kuantiti air yang perlu diisi), kemudian on suis.

Pastikan susu dimasukkan dalam botol dahulu sekiranya susu ini berada di dalam plastik susu.

Seterusnya ikut manual bottle warmer tersebut kerana lain jenama lain cara pengedaliannya.

Lampu pada bottle warmer bagi jenama berbeza juga memberi maksud yang berbeza. Oleh itu, lihat manual bottle warmer yang anda beli.

Cara panaskan susu ibu

Gambar kredit kepada http://www.famili.com.my

Penting untuk periksa suhu susu dengan cara menitiskan susu pada pergelangan tangan.

Pastikan suhu sama dengan suhu badan kita, iaitu susu tidak terasa sejuk atau panas bila dititiskan atas tangan.

Download, Print dan Tampal.

cara panaskan susu ibu ebm

Untuk memudahkan ibu-ibu rujuk kembali cara cairkan dan panaskan susu ibu, boleh download dan print pdf file seperti di atas dan tampalkan pada tempat yang mudah dilihat.

Saya letakkan pada peti sejuk. Manual ringkas begini juga memudahkan suami untuk membantu saya menguruskan susu ibu (ebm) apabila diperlukan.

Masukkan email dan nama, kemudian tekan butang send untuk dapatkan pdf file ini.
Ps: PDF File ini untuk kegunaan peribadi sahaja. Boleh share link kepada blog post ini jika mahu kongsikan dengan rakan-rakan anda.

Saya harap perkongsian ini membantu ibu-ibu mengendalikan susu ibu (ebm) dengan betul kerana pengendalian yang betul akan mengekalkan lebih banyak khasiat susu ibu.

Bagi yang berminat mendapatkan pakaian menyusu jenis selak, boleh lihat koleksi pakaian menyusu Cozy Lady di link ini:

http://www.cozybaby.biz/product-category/nursing-attire/

Baju menyusu selak Cozy Lady

Juga, mari sertai komuniti Cozy Lady untuk mendapat update bagi setiap post bermanfaat yang bakal dikongsi dalam blog ini nanti.

Jom sertai Komuniti Cozy Lady

Dan jadi antara yang terawal mendapat update perkongsian daripada blog ini