Cara Hilangkan Bengkak Susu
Bengkak susu adalah situasi yang kerap berlaku kepada ibu yang menyusukan bayi terutamanya pada awal kelahiran.
Bengkak susu ni sangat menyakitkan sehingga boleh menyebabkan ibu menggigil dan demam.
Apa yang perlu dilakukan untuk meredakan dan menghilangkan bengkak susu?
Dan lebih penting, apa yang perlu ibu-ibu lakukan supaya bengkak susu tidak berulang kembali?
Sebelum kita lihat cara-cara untuk menghilangkan bengkak susu, penting untuk ibu-ibu faham sebab berlakunya bengkak susu untuk mengelakkan masalah ini berulang.
Sebab UTAMA Terjadinya Bengkak Susu
Bengkak susu terjadi kerana 1 sebab UTAMA, iaitu susu tidak dikeluarkan daripada payudara sepenuhnya.
Susu tidak keluar daripada payudara sepenuhnya berlaku, kerana beberapa faktor iaitu:
- Bayi tidak melekap dengan baik
👉 Keadaan bayi yang tidak melekap (latch) dengan baik pada payudara pada awal kelahiran, akan menyebabkan susu tidak keluar daripada payudara sepenuhnya. Payudara akan mula bengkak jika keadaan ini berterusan.
👉 Oleh itu, ibu perlu memastikan bayi mendapat lekapan yang baik semasa menyusu supaya bengkak susu ini tidak berulang.
👉 Boleh baca tentang cara mendapat lekapan yang baik di sini. - Bayi tidak disusukan dengan kerap
👉 Apabila bayi tidak disusukan dengan kerap, susu tidak keluar daripada payudara dengan baik sehingga menyebabkan bengkak susu terjadi.
👉 Contohnya, ibu yang mula memberikan susu formula secara berselang-seli dengan susu ibu, akan menyebabkan bayi kenyang dan skip 1 atau 2 sesi penyusuan pada payudara.
👉 Apabila perkara ini berlaku, susu akan terkumpul di dalam payudara dan boleh menyebabkan bengkak susu.
👉 Ada juga kes bayi yang tidur terlalu lama dan tidak menyusu dalam jangka waktu yang agak lama. Ini juga berkemungkinan menyebabkan ibu mendapat bengkak susu kerana susu tidak dikeluarkan daripada payudara dalam tempoh waktu yang lama.
Bengkak Susu, Apa yang Perlu Ibu Buat?
Ada beberapa cara untuk melegakan bengkak susu, tetapi ini bergantung kepada keadaan bengkak susu itu sendiri. Jadi, saya bahagikan langkah-langkah yang perlu dibuat mengikut jenis bengkak susu yang dihadapi oleh si ibu.
Jenis 1: Bengkak Seluruh Payudara.
Ciri-ciri:
- Keseluruhan kawasan payudara terasa bengkak dan keras.
- Permukaan payudara kelihatan licin berkilat.
(Boleh lihat gambar di bawah)
Jika ibu mempunyai ciri-ciri di atas, ibu perlu tahu yang ianya terjadi kerana susu tidak dikeluarkan daripada payudara sepenuhnya.
Bayi mungkin kerap menyusu, tetapi susu tidak keluar sepenuhnya. Punca utama jika ini berlaku adalah kerana lekapan bayi yang tidak betul semasa menyusu. Jadi, apa cara hilangkan bengkak susu?
Langkah Mengatasi:
- Tuam Sejuk
💦Ambil tuala dan rendam dalam air yang berisi ais. Atau balut tuala dengan ais. Tekap tuala perlahan-lahan pada payudara. Lakukan selama 10 hingga 20 minit.
💦 Tujuan tuam sejuk dibuat adalah untuk menjadikan kawasan yang sakit itu kebas dan mengurangkan sedikit kesakitan (to numb the painful area).
💦 Langkah ini penting supaya langkah seterusnya dapat dilakukan.
💦 Anda boleh skip langkah ini jika mampu menahan sakit untuk lakukan langkah seterusnya (bermaksud, langkah tuam sejuk ini adalah optional dan lakukan jika perlu sahaja) - Tuam Panas
💦 Ambil tuala dan rendam dalam air panas. Kemudian, tekap tuala perlahan-lahan pada payudara.
💦 Tujuan tuam panas ini dilakukan adalah untuk melancarkan pengaliran susu. - Perah sedikit susu daripada payudara dengan menggunakan teknik perahan tangan (atau marmet)
💦 Langkah ini merupakah langkah yang PALING PENTING.
💦 Bengkak susu berlaku apabila susu tidak dikeluarkan dengan baik. Jadi, jika ibu hanya tuam sejuk dan tuam panas sahaja tanpa mengeluarkan susu daripada payudara, bengkak susu ini tidak akan reda.
💦 Kenapa perah menggunakan tangan? Tak boleh ke terus susukan bayi?
Ketika payudara sedang bengkak, kawasan aerola menjadi tegang dan keras.
Ini menyebabkan bayi sukar untuk melekap dengan baik.
Oleh itu, penting untuk ibu marmet dahulu sehingga kawasan aerola menjadi sedikit lembut. Kemudian, ibu boleh cuba untuk susukan bayi (pastikan bayi melekap dengan baik, latch dengan baik. Dapatkan deep latch bukan shallow latch)
💦 Kenapa perah menggunakan tangan dahulu? Tak boleh ke terus gunakan pam untuk redakan bengkak susu?
Ketika payudara sedang bengkak, susah untuk posisikan puting dengan baik dalam corong pam dan suction pam akan turut terganggu.
Oleh itu, lebih berkesan jika ibu marmet (perah susu dengan tangan) dahulu sehingga payudara menjadi sedikit lembut. Kemudian, bibu boleh gunakan pam untuk mengeluarkan susu daripada payudara.
💦 Cara untuk marmet, boleh lihat artikel ini:
https://www.cozylady.com.my/2019/04/18/marmet-teknik-perahan-tangan/ - Keluarkan susu daripada payudara menggunakan kaedah yang sesuai.
💦 Ini langkah terakhir untuk meredakan bengkak susu.
💦 Nak bengkak susu reda, ibu-ibu kena keluarkan susu daripada payudara. Bukan berhenti pada langkah tuam panas, tuam sejuk dan urut sahaja.
💦 Gunakan kaedah yang sesuai dengan keadaan ibu.
💦 Jika bayi dapat melekap dengan baik, susukan bayi.
💦 Jika bayi belum dapat melekap dengan baik, sementara menunggu untuk belajar latch bayi dengan baik, ibu boleh teruskan marmet sehingga bengkak susu reda (atau jika ada pam, boleh pam sehingga payudara terasa ringan dan lembut).
Jenis 2: Ketulan Pada Payudara
Ciri-ciri:
- Terdapat ketulan pada payudara. Bukan bengkak pada seluruh payudara seperti kes di atas
- Ketulan ini terasa sakit apabila dipegang.
- Kawasan yang bengkak ini terasa panas dan kelihatan merah.
Jika ibu mempunyai ciri-ciri ini, ibu perlu faham yang ia berlaku kerana susu tidak dikeluarkan dengan baik pada saluran susu tertentu sahaja. Hal ini menyebabkan saluran susu menjadi bengkak.
Ia juga turut dipanggil clogged milk duct, atau saluran susu tersumbat.
Kenapa ia Terjadi:
- Untuk ibu yang direct feeding bayi, ia mungkin berlaku kerana lekapan bayi tidak mengeluarkan susu daripada saluran susu tersebut.
Oleh itu, ibu boleh cuba tukar posisi penyusuan untuk mengelakkan masalah ini daripada berulang. - Untuk ibu yang sedang menyusukan bayi yang aktif (6 bulan ke atas), bayi selalunya tidak akan menyusu dalam keadaan statik.
Bayi pada umur ini akan bergerak aktif ketika penyusuan, yang menyebabkan lekapan terganggu.
Masalah ini menyebabkan susu pada satu saluran tidak keluar dengan baik dan menjadi bengkak.
Jika anda mengalami bengkak susu kerana faktor ini, nampaknya anda perlu redha sahaja jika ianya berulang, kerana anak-anak memang fitrah mereka bermain dan bergerak aktif 😬😬😬 - Jika anda adalah exclusive pumping (EP) mom, clogged duct mungkin terjadi kerana puting payudara tidak berada tengah-tengah corong ketika mengepam. Ini menyebabkan ada saluran susu yang tidak dikosongkan sepenuhnya.
Langkah Mengatasi
- Tuam Sejuk
💦Boleh buat tuam sejuk jika kawasan ketulan terlalu sakit untuk diurut.
💦 Seperti yang diberitahu sebelum ini, tuam sejuk bertujuan untuk menjadikan kawasan tersebut kebas seketika dan mengurangkan sakit ketika urutan dibuat.
💦 Caranya: ambil tuala dan rendam dalam air yang berisi ais. Atau balut tuala dengan ais. Tekap tuala perlahan-lahan pada ketulan tersebut. Lakukan selama 10 minit.
💦 Boleh skip tuam sejuk jika ibu boleh tahan sakit ketika urut pada kawasan ketulan tersebut. - Tuam Panas
💦 Ini bertujuan untuk melancarkan pengaliran susu.
💦 Ambil tuala dan rendam dalam air panas. Kemudian tekap tuala perlahan-lahan pada payudara - Urut pada ketulan tersebut ke arah puting.
💦 Langkah ini lebih berkesan jika dilakukan ketika sedang menyusukan bayi atau ketika ibu mengepam susu.
💦 Oleh itu, ketika menyusukan bayi atau ketika mengepam, ibu boleh mengurut kawasan ketulan ini perlahan-lahan ke arah puting.
PENTING!!
💪Untuk kes saluran susu tersumbat, tempoh masa untuk ia reda berbeza mengikut individu. Ada ibu yang hanya perlu buat sekali dan ketulan itu terus reda dan hilang.
💪 Ada ibu yang perlu mengulangi urutan setiap kali penyusuan atau pam selama beberapa hari sebelum ketulan tersebut hilang.
💪 Jadi, saranan saya adalah, ibu-ibu perlu sabar dan terus lakukan langkah di atas sehingga ketulan tadi hilang.
Diharapkan perkongsian kali ini dapat membantu ibu-ibu yang sedang mencari jalan untuk melegakan serta menghilangkan bengkak susu yang dialami.
Kami juga banyak berkongsi tips menyusu di Instagram kami sama ada dalam bentuk video (REELS) ataupun IG post.
Boleh follow Instagram kami untuk membaca lebih banyak tips penyusuan di sana, tekan link di bawah:
https://www.instagram.com/cozy_lady/
Bagi yang berminat untuk mendapatkan pakaian menyusu jenis selak untuk memudahkan penyusuan, boleh lihat koleksi pakaian menyusu Cozy Lady di link ini.
http://www.cozybaby.biz/product-category/nursing-attire
Setiap pembelian anda di Cozy Lady amat bermakna buat kami.
Sebahagian daripada pembelian anda akan kami gunakan untuk menyumbang kembali kepada komuniti ibu menyusu melalui penulisan di blog, FB group dan video di Youtube.